Blogger Template by Blogcrowds

Aidilfitri Mubarak


SAMPAI saatnya, Ramadhan al-Mubarak akan berlalu meninggalkan kita. Lalu bulan Syawal akan menggantinya. Berlalunya bulan Ramadhan mencetuskan rasa sayu dan sedih di hati para shalihin. Mereka sedih dan menangis kerana peluang untuk mendapat pahala beribadah yang berlipat-ganda sudah tiada lagi. Diriwayatkan, kesedihan ini bukan dialami oleh manusia sahaja, malah dirasakan juga oleh para malaikat dan makhluk-makhluk lain.
Riwayat daripada Jabir r.a : Sabda Rasulullah s.a.w,
mafhumnya: "Menjelang akhir malam Ramadhan, maka menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan para malaikat, kerana dengan berlalunya Ramadhan, maka berlalulah fadhilatnya. Ini merupakan musibah bagi umatku". Ditanya orang, "Apakah musibah itu, ya Raulullah?". Jawab Rasulullah s.a.w, "Dalam bulan itu segala doa mustajab, sedekah makbul, segala kebajikan digandakan pahalanya dan seksaan kubur terkecuali, maka apakah musibat yang terlebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu?".
Walau bagaimanapun, bulan Ramadhan tidak terus berlalu begitu sahaja. Ibadat puasa sebagai satu perjuangan sepanjang bulan Ramadhan itu, sebenarnya akan menemui kemuncaknya pada hari satu Syawal yang dinamakan Hari Raya Puasa atau Hari Raya Fitrah ('Idul-Fithri) yang
merupakan hari kemenangan bagi perjuangan itu. Sekiranya perjuangan itu disempurnakan sebaik-baiknya _ dengan niat yang suci, ikhlas, penuh kesedaran, kebaktian dan ketakwaan _ nescaya tercapailah kemenangan atau kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.
Sambutan Hari Raya Fitrah:
HARI Raya Fitrah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Malah, dikatakan disambut juga oleh para malaikat.
Tersebut dalam khabar (hadis) : Pada malam satu Syawal, atas perintah Allah Tabaraka wa Taala, para malaikat turun ke bumi. Mereka berdiri di segenap jalan dan berseru dengan suara yang dapat didengar oleh segala makhluk kecuali jin dan manusia : "Hai umat Muhammad. Keluarlah (beribadatlah) kamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah!"
Pada pagi hari raya, apabila berhimpun para muslimin dan muslimat di tempat-tempat ibadat, Allah Taala berfirman, "Hai sekalian malaikat-Ku. Apakah balasan kepada orang-orang yang mengambil upah (mengerjakan ibadat mereka)?" Sembah para malaikat, "Hai Tuhanku,
Balasannya, disempurnakan upahan (pahala) bagi
mereka"
Allah berfirman lagi, "Persaksikanlah
sekalian kamu, hai malaikat-Ku, bahawa Aku sesungguhnya telah menjadikan pahala puasa Ramadhan itu keredhaan-Ku dan keampunan-Ku. Hai sekalian hamba-Ku (umat Muhammad). Demi ketinggian-Ku dan kebesaran-Ku, Aku perkenankan permohonan kamu pada hari ini. Demi ketinggian-Ku dan kebesaran-Ku,
sesungguhnya Aku tawaqquf (menamatkan) segala dosa kamu. Sesungguhnya kamu telah meridhakan Aku dengan keridhaan kamu". Kurniaan Allah S.W.T untuk umat Muhammad s.a.w itu disambut oleh para malaikat dengan rasa amat sukacita.
Sejarah memperlihatkan satu Syawal menjadi pilihan Allah Taala untuk melakukan sesuatu yang teristimewa. Pada hari satu Syawal, Allah menciptakan syurga. Pada hari satu Syawal juga Syajaratul-Thuubaa( Pokok Kebahagiaan ) ditanam. Pada hari Fitrah juga tukang-tukang sihir Fir'aun diampunkan Allah dosa mereka.
Fadhilat 1 Syawal:
DIRIWAYATKAN: Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.aw bersabda, mafhumnya: "Barangsiapa membaca : Laa ilaaha illallaahu wahdahuu laa syariika lah, lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyii wa yumiit, wa huwa haiyun laa yamuutu biyadihil-khayr wa hua 'alaa kulli syayin qadiir sebanyak empat ratus kali sebelum daripada sembahyang sunat hari raya (sama ada 'Idil-Fitri atau 'Idil-Adhha), dia akan dikahwinkan oleh Allah Taala dengan empat ratus bidadari (Hawrul-'Ayn) dan mendapat pahala seperti memerdekakan seratus raqabah (hamba)." Mengikut riwayat Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa mengerjakan ibadat pada kedua-dua malam raya, tidak mati hatinya pada
hari yang dimatikan segala hati".
Hikmat Hari Raya:
SEBENARNYA setiap detik peristiwa pada kedua-dua hari raya tersebut adalah mengandungi hikmah dan makna atau merupakan gambaran simbolik kepada apa yang akan berlaku ke atas manusia selepas mati. Inilah hikmah, selain hikmat-hikmat yang sering diperkatakan menegenai hal yang berkaitan dengan kemanusiaan dan kemasyarakatan. Mngikut hukama' / ulama' : "Hari raya itu adalah untuk mengingatkan hamba Allah kepada hari akhirat (hari kiamat). Apa yang berlaku pada hari raya adalah tamsilan kepada detik-detik peristiwa yang
akan berlaku pada hari kiamat ..."
Justeru, hukama' menganjurkan agar setiap peristiwa pada hari raya direnungi dan dibayangkan sebagai ibarat atau tamsilan kepada peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat kelak, sebagaimana berikut :
· Saat berlalunya bulan Ramadhan diibaratkan sebagai ketibaan saat kematian seseorang hamba Allah.
· Bunyi mercun atau riang gembira hilai ketawa kanak-kanak pada hari raya diibaratkan sebagai bunyi tiupan sengkakala pada hari kebangkitan manusia dari kubur mereka.
· Panggilan (tuntutan) sembahyang hari raya diibaratkan sebagai seruan Israfil pada Hari
Kebangkitan di atas shakhrah (batu besar) di Baitul-Maqdis, "Hai segala tulang yang hancur! Hai segala kulit yang lebur! Hai segala bulu yang gugur. Telah diperkenankan kamu dibawa mengadap Allh".
· Keluarnya muslimin dan muslimat beramai-ramai ke masjid atau ke padang untuk mengerjakan ibadah sembahyang sunat hari raya ditamsilkan dengan keluarnya (kebangkitan) manusia bertaburan dari kubur masing-masing pada hari kebangkitan (yawmul-ba'ts) lalu bergerak ke padang Mahsyar.
· Pelbagai cara orang pergi ke masjid, ada berjalan kaki dan juga menaiki kenderaan. Keadaan yang berjalan kaki, ada yang perlahan, ada yang cepat atau terburu-buru. Dan yang berkenderaan pula dengan pelbagai jenis kenderaan, daripada basikal hingga kepada mobil mewah. Keadaan ini diibaratkan kepada pelbagai keadaan perjalanan manusia dari kubur mereka ke padang Mahsyar kelak.
· Ketibaan jemaah di masjid atau di padang pula ditamsilkan dengan ketibaan seluruh manusia di padang Mahsyar.
· Keadaan jemaah di masjid atau di padang dengan pelbagai pakaian, rupa paras, warna kulit dan keadaan tempat duduk mereka ditamsilkan sebagai keadaan yang akan dialami oleh manusia di padang Mahsyar nanti. Antara mereka ada yang putih dan ada yang hitam muka mereka, ada yang duduk di bawah naungan 'Arasy, ada yang berpeluh berjemur panas. Ada juga mereka yang menduduki tempat teristimewa, iaitu para anbia', aulia' dan syuhada'.
· Berdiri (qiam) para jemaah untuk sembahyang sunat hari raya pula ditamsilkan sebagai berdirinya seluruh manusia di padang Mahsyar menghormati Tuhan Rabbul-Jalil.
· Segala perbuatan dan bacaan dalam sembahyang sunat hari raya itu adalah sebagai tamsilan atau memggambarkan peristiwa demi peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat.
· Selepas sembahyang, apabila Imam bangun membaca khutbah, maka tamsilannya ialah, Jibrail bangun mengumumkan keputusan nasib manusia di akhirat, sama ada menerima kebahagiaan atau kecelakaan (ditempatkan di syurga atau di neraka).
Demikianlah, anjuran hukama' supaya apa yang berlaku pada hari raya itu direnungi dan dijadikan iktibar, dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi pada hari kiamat. Dengan berbuat demikian, diharap akan timbul keinsafan dan ketakwaan dalam diri.
Lima Hari Raya yang Lain:
Hari Raya Fitrah dan hari Raya Adhha merupakan dua hari raya di dunia semata-mata. Sebenarnya, bagi mukminin / mukminat, ada lagi lima hari raya yang lain, iaitu :
· hari kelahiran dari kandungan rahim ibu dalam ke adaan suci daripada dosa;
· hari kematian dengan pencapaian husnul-khaatimah;
· hari kejayaan melewati titian Siratal-Mustaqim dan terselamat daripada pelbagai huru-hara pada hari kiamat;
· hari memasuki syurga dengan sejahtera;
· hari menemui (menikmati) wajah Allah Azza wa Jall - hari raya yang paling agung ('Iidul-akbar )!
Wallahu a'lam.A

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home